LEBIH CEPAT: Mohamad Shukri (berdiri tiga kanan) bersama Noraini (duduk) menunjukkan cara menggunakan mesin pembungkusan pes yang dihasilkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk membantu IKS di Kampung Seri Serdang Tampoi, Johor Baharu semalam. — Gambar Bernama
JOHOR BAHARU: Inisiatif sekumpulan penyelidik yang menjalankan projek menghasilkan mesin mempastur dan membungkus pes, berjaya membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di sini meningkatkan kapasiti pengeluaran pes untuk pasaran lebih luas.
Bagi usahawan IKS, Noraini Margono, 60, berkata beliau berjinak dalam industri pes sejak setahun lalu, namun, hanya berkemampuan mengeluarkan kira-kira 50 peket pes sehari melalui kaedah manual.
Kaedah manual ini memerlukan Noraini menumis sendiri bahan-bahan pes di dalam kuali besar, kemudian memanaskan pes itu di kuali lain sebelum menimbang dan membungkusnya.
Kata beliau, proses membungkus sahaja sudah memakan masa empat minit, apatah lagi proses-proses yang lain.
Noraini menambah, beliau perlu memastikan pes dibungkus dalam kadar segera selepas proses memanaskan (pempasturan) bagi mengelakkan pes tidak rosak berikutan ia tidak mengandungi bahan pengawet.
Justeru, apabila terpilih sebagai antara usahawan IKS yang menyertai program Rangkaian Penyelidikan Awam-Swasta (PPRN) anjuran Kementerian Pengajian Tinggi bagi penghasilan mesin itu pada awal tahun ini, Noraini tidak menoleh ke belakang malah bersyukur kerana mahu mengintai peluang untuk mengembangkan perniagaannya.
“Saya sudah menggunakan ia (mesin) selama sebulan dan nampaknya sangat memudahkan kerja-kerja rutin,” kata Noraini kepada pemberita di bengkelnya – Norelle Sdn Bhd di Kampung Seri Serdang di sini semalam.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mohamad Shukri Zainal Abidin yang mengetuai projek penghasilan mesin berkenaan berkata mesin itu memakan masa selama enam bulan untuk disiapkan kerana perlu mengambil kira masalah-masalah yang dihadapi Noraini ketika mengusahakan industri pes.
Katanya, beliau turut dibantu tiga lagi pensyarah lain serta empat pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Mekatronik).
Di bawah PPRN, mereka diberi geran sebanyak RM50,000 dengan RM20,000 dibelanjakan untuk komponen mesin manakala yang selebihnya untuk proses penyelidikan dan pembangunan (R&D), percubaan dengan industri dan lain-lain.
“Mesin yang boleh mempastur sehingga 50kg pes pada satu-satu masa ini, menggunakan kaedah pendidihan berganda yang dilengkapi sistem pemanas elektrik dan gas yang dikawal secara hibrid menerusi sistem pengawal automatik.
“Ia membolehkan pes dipam menggunakan sistem pneumatik ke bahagian pembungkusan dan dipek mengikut berat yang ditetapkan, sekali gus menjimatkan masa pempasturan dan pembungkusan sehingga lebih 70 peratus berbanding kaedah manual,” katanya.
Mohamad berkata ia juga menggunakan tenaga elektrik yang minimum dan boleh dikendalikan seorang pekerja tetapi kualiti dan tempoh hayat pes masih terjamin.
Beliau menjangkakan mesin itu turut dapat dipasarkan dalam masa dua bulan selepas dipatenkan oleh pihak berkenaan. — Bernama
HASIL PRODUK: Noraini menunjukkan antara hasil yang berjaya di keluarkan dengan menggunakan mesin pembungkusan pes yang di hasilkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Kampung Seri Serdang Tampoi, Johor Baharu semalam. — Gambar Bernama