KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) menjangkakan projek Sentral Suites, dengan nilai pembangunan kasar RM1.5 bilion, akan menyumbang sebanyak 20 hingga 30 peratus jualan dalam tempoh empat setengah tahun.

Pemaju harta tanah itu berharap dapat mencapai sasaran tersebut melalui kerjasama dengan portal hartanah yang terkemuka di Asia, PropertyGuru, bagi membangunkan kempen digital yang eksklusif untuk pemasaran dan promosi Sentral Suites.

Ketua Pegawai Operasi MRCB, Kwan Joon Hoe, berkata kerjasama itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini yang melibatkan aktiviti kempen pemasaran digital yang komprehensif.

“Trend dan budaya mencari telah berubah dari masa ke masa, dan mengenai pasaran harta tanah, kami mahu mengubah persepsi tradisional cara kita membeli hartanah.

“Ia akan menjadi lebih mudah dan saya percaya ia akan meningkatkan lagi strategi pemasaran kami,” katanya kepada pemberita semasa majlis menandatangani kerjasama itu di sini semalam.

Katanya, Sentral Suites, yang terletak di pusat perniagaan Kuala Lumpur Sentral, dijadualkan untuk pelancaran pada suku keempat tahun ini.

“Kira-kira 80 peratus daripada projek ini dijangka akan terjual dalam tempoh enam bulan, berdasarkan jumlah pendaftaran yang kami terima dalam tempoh tiga bulan lepas, yang sekarang ini melebihi 2,000,” katanya.

Ia mengandungi tiga menara setinggi 43 tingkat, 1,434 unit pangsapuri dan 41 unit runcit, dengan binaan seluas 651 kaki persegi hingga 1,166 kaki persegi.

Harga unit-unit akan bermula daripada RM730,000 hingga RM1.3 juta.

Kwan juga berkata bahawa 30-40 peratus daripada keseluruhan bajet pemasaran akan diperuntukkan untuk pemasaran digital.

Sementara itu, Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, berkata pelan pemasaran digital yang melibatkan pengalaman interaktif akan menarik golongan profesional dan pasangan muda serta pelabur.

“Ia menggunakan teknologi terkini seperti dron bagi mengambil gambar untuk memberikan pandangan sebenar di tapak daripada pelbagai sudut dan ketinggian yang berbeza untuk membantu pelanggan membuat keputusan,” katanya.

Sheldon ketika bercakap mengenai prospek pasaran hartanah pada tahun depan, berkata ia akan menjadi sederhana tetapi dengan kadar pembelian yang lebih baik.

“Tetapi kami perlu lihat apa yang akan ditawarkan oleh Bajet 2017…jika ada sebarang rangsangan untuk pasaran,” katanya.

Katanya, berdasarkan data dalam suku ketiga tahun 2015, indeks harga rumah Malaysia telah meningkat sebanyak 5.4 peratus, naik sederhana berbanding kebiasaan yang mencatatkan 10-15 peratus setiap tahun.

“Ia telah menurun daripada 7.8 peratus setahun dalam 2014 dan ini adalah kenaikan terendah semenjak suku ketiga 2009.

“Berdasarkan ini, kami lihat harga hartanah di Malaysia tidak pernah jatuh cuma ia mengalami aliran peningkatan yang sederhana,” kata Sheldon. — Bernama