LKM digesa bantu para pekebun koko tingkatkan hasil

TELITI: Mah Siew Keong bersama timbalannya Datu Nasrun tertarik melihat proses membuat coklat ketika melawat Pusat Penyelidikan Bioteknologi Koko di Taman Perindustrian Sabah, kelmarin. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Nilai eksport koko negara tahun ini dijangka mengatasi nilai eksport tahun lepas sebanyak RM5.03 bilion, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata, nilai eksport koko dan produk berasaskan koko tahun lepas juga menunjukkan peningkatan sebanyak 4.9 peratus berbanding RM4.8 bilion yang direkodkan pada 2014.

Menurutnya, destinasi eksport utama koko Malaysia ialah Amerika Syarikat, Jepun, China, Kanada dan Australia.

Justeru itu Mah menggesa Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk sentiasa turun padang membantu pekebun koko meningkatkan hasil.

“Industri ini mempunyai banyak potensi untuk maju.

Pihak LKM perlu sentiasa beri nasihat secara teknikal kepada pekebun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Rintis Coklat, di sini, semalam.

Menurutnya, LKM perlu sentiasa menjalankan kajian dan penyelidikan serta menghasilkan klon koko baharu yang perlu dikongsi dengan pekebun koko bagi meningkatkan produktiviti mereka.

Mengenai Makmal Rintis Coklat itu, Mah berkata makmal bernilai RM1.1 juta itu dijangka meningkatkan bilangan usahawan coklat di Sabah yang kini seramai 22 orang.

Katanya, makmal yang dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) itu dilengkapi pelbagai peralatan untuk pemprosesan blok coklat seperti ‘tempering machine’ dan ‘3-in-1 refiner conche’ serta ruang pembungkusan dan ruang latihan pembuatan coklat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Datu Mansur dan Pengerusi LKM Datuk Dr Marcus Makin Mojigoh. — Bernama