Penghormatan buat 200 syarikat awam Asia Pasifik pendapatan tahunan antara AS$5j hingga AS$1b

SINGAPURA: Karex Bhd, pengeluar kondom terbesar dunia adalah peserta baharu dalam senarai ‘Terbaik Di Bawah Satu Bilion’ Forbes Asia terkini.

Karex menyertai empat syarikat Malaysia lain — Inari Amerton Bhd, Mitrajaya Holdings Bhd, My E.G. Services Bhd dan Signature International Bhd dalam senarai berkenaan.

Senarai ‘Terbaik Di Bawah Satu Bilion’ memberi penghormatan kepada 200 syarikat awam terkemuka di rantau Asia Pasifik dengan pendapatan tahunan di antara AS$5 (AS1=RM4.04) juta dan AS$1 bilion, mempunyai pendapatan bersih positif serta disenarai awam sekurang-kurangnya setahun.

Daripada 17,000 syarikat dari seluruh dunia, calon ditapis mengenai pertumbuhan jualan dan pertumbuhan pendapatan dalam tempoh 12 bulan lepas dan dalam tempoh tiga tahun, serta untuk pulangan lima tahun terkukuh dalan ekuiti.

Selain Malaysia di Asia Tenggara, Singapura mempunyai dua syarikat dalam senarai tahun ini.

Thailand mempunyai empat syarikat termasuk Forth Smart Service, syarikat perkhidmatan tambah nilai untuk telefon prabayar serta kad bank, manakala Vietnam memiliki lima syarikat dalam senarai berkenaan.

Syarikat tunggal Filipina yang tersenarai tahun ini ialah D&L Industries, pengeluar bahan makanan, plastik dan kimia.

Tidak ada syarikat dari Indonesia tersenarai tahun ini.

Syarikat dari China, Hong Kong dan Taiwan menyumbang 65 peratus kepada senarai tahun ini, satu pencapaian tertinggi untuk senarai 200 syarikat senaraian awam terkemuka di rantau Asia Pasifik.

“Malah jika ekonomi China terus lembap, negara Asia lain — jika ia ingin mendapat tempat lebih tinggi dalam senarai perusahaan kecil dan sederhana ini — perlu mencari pasaran lebih besar untuk barangan dan perkhidmatan bernilai

tinggi,” kata Editor Forbes Asia, Tim Ferguson dalam satu kenyataan semalam.

“Mungkin perjanjian perdagangan ASEAN boleh membantu,” kata Ferguson.

Daripada 200 syarikat terlibat, 116 adalah baharu dalam senarai tersebut.

Sejumlah 98 syarikat dari China dan Hong Kong termasuk dalam senarai tahun ini, naik daripada 84 syarikat pada tahun sebelumnya.

Syarikat terbabit menonjol bukan sahaja disebabkan jumlah terbesar, tetapi disebabkan berjaya menyangkal pendapat yang ekonomi kedua terbesar dunia itu dilanda masalah.

Taiwan juga mempunyai banyak wakil dalam senarai itu dengan 32 syarikat.

Korea Selatan mempunyai 16 syarikat dalam senarai tahun ini, termasuk LOEN Entertainment, syarikat jualan muzik dalam talian dan pembangunan bakat.

Jepun mencatat pemulihan kukuh dengan 13 syarikat, meningkat daripada lapan tahun lepas.

Negara lain di rantau ini, iaitu Australia, India dan Pakistan masing-masing mempunyai tujuh syarikat.

Syarikat tersenarai yang agak ketara ialah syarikat perlombongan emas Australia, Northern Star Resources, yang telah membuat pemulihan dramatik daripada hampir mengalami krisis sedekad lalu dengan kemunculan semula bernilai AS$2.1 bilion dalam nilai pasaran.

Sri Lanka mempunyai tiga syarikat dalam senarai tahun ini, naik daripada satu sahaja tahun lepas.

Senarai penuh boleh didapati di www.forbes.com/bub serta dalam isu terbaru Forbes Asia. — Bernama