KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan lebih 50 individu bagi membantu siasatan kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

Sambil menegaskan siasatan mungkin mengambil masa yang lama, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata antara yang sudah diambil keterangannya ialah staf Jabatan Penerbangan Awam, anggota Tentera Udara Diraja Malaysia selain anggota keluarga penumpang dan anak kapal MH370.

“Semasa disoal siasat kesemua mereka memberikan kerjasama baik, tiada yang enggan,” katanya yang ditemui pemberita selepas Persidangan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis, Komander, Komandan dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras, di sini semalam.

Beliau berkata siasatan masih berdasarkan kepada empat aspek yang diumum sebelum ini iaitu kemungkinan dirampas, sabotaj, keadaan psikologi penumpang serta kru, dan masalah peribadi penumpang serta kru.

Berhubung simulator milik juruterbang pesawat itu, Kapten Zaharie Ahmad Shah yang kini disiasat oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat, Khalid berkata polis tidak boleh mendedahkan apa jua penemuan kepada media bagi mengelak gangguan siasatan.

Ditanya mengenai dakwaan seorang penganalisis pertahanan Amerika Syarikat bahawa MH370 kini berada di Pakistan, beliau berkata penganalisis tersebut perlu kemukakan bukti.

“Kalau dia (pesawat) di Pakistan, penganalisis itu kena beritahu di landasan mana ia mendarat dan pukul berapa. Kalau tidak semua orang akan bagi pendapat dan macam-macam pendapat kita telah baca serta dengar.

“Ada yang kata ia mendarat di darat, ia mendarat di laut dan ada bomoh pula kata tersangkut di tengah-tengah …Jadi selagi tidak ada bukti, kita anggap ia spekulasi semata-mata,” katanya.

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu hilang daripada radar kira-kira jam 1.30 tengah malam pada 8 Mac lalu di ruang udara antara Malaysia dan Vietnam, kira-kira sejam setelah  berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju Beijing.

Mengenai persidangan itu, Khalid menjelaskan beberapa perkara telah dibincangkan termasuk berhubung perkembangan keselamatan negara, pindaan beberapa akta serta pelaksanaan Akta Pencegahan Jenayah yang akan diwartakan tidak lama lagi.

“Berhubung Akta Pencegahan Jenayah itu, kita mahu lihat bagaimana kita hendak melaksanakannya dan apa kuasa kita dalam akta ini. Semua ini harus diperjelaskan kepada ketua-ketua polis dari seluruh negara,” katanya. — Bernama