SEPANG: Pihak berkuasa Malaysia yang terbabit dalam misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang hilang, mengadakan mesyuarat terakhir di Hotel Sama-Sama semalam sebelum berpindah ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Pusat media di hotel berkenaan juga dipindahkan ke PWTC memandangkan hotel itu mempunyai komitmen tempahan daripada pihak yang terlibat dalam perlumbaan Formula One di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu depan.

Mesyuarat semalam dihadiri oleh wakil daripada pihak berkaitan termasuk MAS, Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan serta Angkatan Tentera Malaysia.

Panglima Angkatan Tentera Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin ketika ditanya mengenai perkembangan terkini semasa meninggalkan bilik mesyuarat itu pada jam 11 pagi, hanya berkata: “Tunggu kenyataan yang akan dikeluarkan nanti”.

Pesawat Boeing 777-200ER yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 12.41 tengah malam, 8 Mac. Pesawat dijadualkan tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Misi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai negara yang memasuki hari ke-16 semalam masih gagal memberi petunjuk sahih tentang nasib mereka yang menaiki pesawat itu.

Usaha mengesan pesawat dilakukan di Laut China Selatan sebelum diperluas sehingga ke sebahagian besar perairan di barat Semenanjung Malaysia termasuk Lautan Hindi, apabila ada penemuan menunjukkan pesawat mengubah haluan selepas sistem komunikasinya dimatikan secara sengaja oleh pihak tertentu di dalam pesawat tersebut dan pesawat terbang selama tujuh jam selepas itu. — Bernama