KUALA LUMPUR: Misi pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi gagal menemui objek yang imejnya dicerap oleh satelit China, meskipun operasi kelmarin meliputi lokasi objek itu dikesan.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) dalam kenyataannya di sini semalam, berkata AMSA menggunakan maklumat yang disalur oleh China itu untuk plot pencarian.

Semalam, pencarian dibahagikan kepada dua, dalam kawasan yang sama meliputi keluasan 59,000 kilometer persegi, kira-kira 2,500km dari barat daya Perth, kata kenyataan itu.

Sebanyak lapan pesawat dikerah melaksanakan operasi semalam termasuk empat pesawat awam iaitu dua Bombardier Global Express serta sebuah Gulfstream 5 dan Airbus 319.

Satu daripada pesawat awam terbabit berlepas dari Perth kira-kira jam 9 pagi, manakala tiga lagi dijadual berlepas antara jam 11 pagi hingga tengah hari.

Menurut kenyataan itu pesawat P8 Poseidon milik tentera udara Amerika Syarikat berlepas pada jam 11 pagi, manakala sebuah P3 Orion milik Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) berlepas pada jam 11.45 pagi.

“Sebuah lagi P3 Orion RAAF akan menyusul pada jam 2 petang,” kata kenyataan itu yang menambah P3 Orion milik tentera udara New Zealand akan berlepas pada jam 4 petang.

Kenyataan itu juga menyebut kapal tentera laut Australia HMAS Success turut menjalankan aktiviti pencarian semalam.

“Sebanyak 20 sukarelawan Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) dari Australia Barat ditugas sebagai peninjau bagi pesawat awam hari ini (semalam) dengan lima orang bagi setiap pesawat, selain seorang Penyelaras Misi Penerbangan Aerorescue,” kata kenyatan itu.

Dua pesawat tentera dari China Ilyushin Il-76 sudah tiba di Pangkalan Pearce RAAF dan AMSA dimaklumkan pesawat terbabit sedia untuk dikerah hari ini. — Bernama