BERPINDAH: Wartawan media tempatan kini berpindah ke pusat media rasmi mencari dan menyelamat pesawat MH370 ke ruang yang luas dan lebih selesa di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kira-kira 48 media tempatan dan lebih 100 media luar negara yang membuat liputan tentang operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370, mula berpindah ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Wartawan daripada agensi media tempatan dan antarabangsa, termasuk Bernama, mula membawa masuk peralatan masing-masing dan menempah ruang bekerja sejak tengah hari semalam.

Kebanyakan mereka kelihatan berpuas hati dengan pusat media baharu itu kerana ia menyediakan ruang lebih luas untuk media, dewan lebih besar untuk sidang akhbar dan terletak berhampiran pusat bandar.

Di samping itu, pihak urus setia juga menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk capaian Internet dan makanan untuk petugas.

Media antarabangsa yang berpindah ke situ termasuk CNN, BBC, Bloomberg, Associated Press, Sky News dan CCTV dari China, di samping pertubuhan berita dari Jepun, Indonesia dan Singapura.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataannya semalam berkata pemindahan pusat media itu ke PWTC dibuat berikutan komitmen Sama-Sama Hotel terhadap mereka yang membuat tempahan bersempena Grand Prix Formula 1 minggu ini.

Sidang akhbar harian diadakan di Sama-Sama Hotel berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa KL sejak hari pertama pesawat Malaysia Airlines MH370 dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac. — Bernama