KAJANG: Sejumlah 28,314 pengundi atau 72 peratus daripada keseluruhan 39,278 pengundi berdaftar, telah mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang semalam.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata jumlah ini bagaimanapun menurun sebanyak 16 peratus berbanding 88.4 peratus pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Ini bermakna tanggapan saya pagi tadi (semalam) menjangkakan jumlah pengundi keluar mengundi lebih 80 peratus tak tercapai.

“Tapi peratusan ini pun ok bagi saya…SPR akan kaji dan teliti apa sebab berlaku begini dari 88 peratus pada PRU lepas, sekarang turun pada 72 peratus,” katanya pada sidang media di pusat penjumlahan rasmi undi di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang di Bandar Baru Bangi, di sini.

Ditanya sama ada jumlah itu adalah terendah dalam sejarah PRK, Abdul Aziz berkata beliau tidak dapat mengesahkan rekod secara keseluruhan, namun peratusan ini adalah terendah berbanding PRK Kuala Besut dan Sungai Limau yangmasing-masing mencatatkan 79.7 dan 88.5 peratus.

Abdul Aziz berkata penurunan peratusan mengundi itu tidak sepatutnya berlaku berdasarkan keadaan cuaca semalam, tempoh kempen yang panjang dan pengurusan baik daripada pihak SPR dan polis.

Mengenai perjalanan tempoh pengundian, beliau berkata pada keseluruhannya berjalan lancar walaupun difahamkan berlaku sedikit provokasi di beberapa pusatmengundi. — Bernama