MELAKA: Jabatan Meteorologi akan memfokuskan proses pembenihan awan di semua kawasan empangan di pantai barat Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan paras air di empangan itu bermula bulan depan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata antara empangan yang terlibat ialah Empangan Muda dan Empangan Pedudi Kedah; Empangan Klang Gate di Kuala Lumpur; dan Empangan Jus di Jasin dekat sini.

Katanya pembenihan awan di kawasan itu juga dilakukan berikutan permintaan daripada pengendali empangan bagi memastikan air di empangan berkenaan tidak berada pada paras kritikal.

“Bagi pembenihan ini kita gunakan pesawat Cessna dan mulakan proses itu dari utara iaitu di Kedah hingga selatan di Johor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2014. Turut hadir Ketua PengarahJabatan Meteorologi Malaysia Datuk Che Gayah Ismail.

Sambutan sehari itu bertemakan ‘Cuaca dan Iklim: Penglibatan Belia’ dan pada majlis itu juga Abu Bakar turut merasmikan Pejabat Meteorologi Melaka di sini semalam.

Abu Bakar berkata Jabatan Meteorologi sentiasa memantau cuaca di seluruh negara sebelum proses itu dilaksanakan bagi mengelak pembaziran kerana iamelibatkan kos yang tinggi iaitu RM80,000 untuk satu operasi dan hanya dilakukan sekiranya potensi kejayaan proses berkenaan mencapai 85 peratus.

Beliau berkata lapan operasi pembenihan awan dilakukan di beberapa lokasi di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Selangor antara 3 Mac danJumaat lepas.

Katanya bulan depan Semenanjung Malaysia dijangka menerima taburan hujan  50mm hingga 150mm; Sarawak antara 100mm dan 200mm; dan Sabah 100mm hingga 300mm.

Sementara itu, Abu Bakar berkata Pejabat Meterologi Melaka yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka itu siap dinaik taraf pada Februari 2009dengan kos berjumlah RM2.3 juta.

Pejabat itu dilengkapi dengan pelbagai peralatan kaji cuaca yang canggih bernilai RM2.6 juta dan ramalan ketepatan kaji cuaca di Melaka dijangka mencapai lebih 85 peratus. — Bernama