SHAH ALAM: Polis menemui semula dua lori kontena yang dilaporkan dicuri di depan sebuah gudang di Jalan Seruling 57, Taman Klang Jaya pada 4 Jan setelah menahan seorang lelaki di Bandar Sultan Sulaiman, Klang tiga  hari lepas.

Ketua Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata susulan penahanan lelaki itu, polis menemui kedua-dua lori kontena berkenaan di Kota Kemuning dan Kota Damansara.

“Sebuah daripada kontena itu, yang dilaporkan mengandungi ubi kentang segar diimport dari China bernilai RM100,000 telah ditemui kosong,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata polis kemudian menyerbu sebuah kilang di Kampung Baru Sungai Buloh pada kira-kira jam 2 petang hari sama serta menahan enam lelaki termasuk dua warga asing iaitu dari Bangladesh dan Thailand.

“Dalam serbuan itu, polis turut merampas semula ubi kentang yang dilaporkan hilang dan hasil pemeriksaan menunjukkan ubi kentang ini telah diagih dan diisi ke dalam guni kecil seberat 5 kilogram untuk dijual kepada pembeli sedia ada,”katanya.

Polis kini menjejaki dua lelaki bagi membantu siasatan polis iaitu Mohd Khiril Anuar Mustakim, 30, dan Amir Yaasiin Muhd Hussain, 31, yang sebelum ini menetap di Klang.

Sementara  itu, mengulas kertas siasatan kalimah ‘Allah’ yang dikembalikan kepada polis oleh pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kelmarin, Mohd Adnan berkata ia telah pun dikemas kini dan dihantar semula ke pejabat DPP pagi semalam.

“Buat masa ini, seorang lagi saksi tambahan  telah pun dirakam percakapannya, menjadikan kesemuanya 100 individu (yang diambil keterangan),” katanya.

Rabu lepas, polis Selangor menyerahkan kertas siasatan berhubung kenyataan pengarang majalah mingguan Katolik The Herald iaitu Paderi Lawrence Andrewberhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada pejabat pendakwa raya.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata pihaknya sudah merakam keterangan 99 individu bagi membantu dan melengkapkan kertas siasatan kes itu. — Bernama