BUKIT MERTAJAM: Pemilik lapan gerai yang beroperasi tanpa lesen di Jalan Kulim, meminta tempoh sehingga Isnin untuk membuka sendiri struktur gerai mereka, selepas Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mahu merobohkannya semalam.

Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Bahagian Bukit Mertajam Mohammad Fauzi Sharif yang berada di lokasi itu telah berbincang dengan wakil penguat kuasa MPSP supaya tidak merobohkan gerai-gerai itu semalam.

Katanya beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan majlis itu untuk menyelesaikan isu berkenaan secara baik.

“Mereka (pengusaha gerai) diarahkan berpindah dalam tempoh 24 jam tanpa ada tawaran tempat ganti. Kami akan panjangkan isu ini kepada kerajaan pusat agar ada bantuan yang dapat disalurkan untuk mereka,” katanya kepada pemberita di sini.

Mohamad Kamu, 52, yang menjalankan perniagaan mi ketam berkata jika gerainya yang dibuka sejak lebih 10 tahun itu ditutup, ia bukan sahaja menjejaskan perniagaannya, malah 20 pekerjanya juga akan hilang punca pendapatan.

“Saya berharap agar pihak MPSP mempertimbangkan semula keputusan yang dibuat memandangkan gerai di sini telah lama beroperasi tanpa mengganggu sesiapa.

“Saya cadangkan perbincangan lanjut dapat dilakukan dalam tempoh terdekat untuk mengatasi masalah ini,” kata Mohamad.

Mohd Naim Mat Kassim, 39, berkata perniagaan buah berangan yang dijalankannya sejak 15 tahun lalu terganggu selepas menerima notis pengosongan kelmarin.

“Saya memang rasa kecewa kerana tidak lagi dapat berniaga di sini sedangkan itulah satu-satunya punca pendapatan untuk menyara keluarga,” katanya.

Bagi penjual air kelapa, Tan Wah Pheng, 45, notis yang dikeluarkan majlis itu menjadi berita buruk buatnya memandangkan perayaan Tahun Baharu Cina semakin hampir.

“Saya tidak faham mengapa kami tidak dibenarkan berniaga sedangkan aliran lalu lintas tidak terganggu dengan aktiviti perniagaan di sini,” katanya. — Bernama