KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyokong penuh cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar kerajaan mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam negara dapat dikekalkan.

Beliau berkata bagaimanapun Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya pihak penguat kuasa undang-undang dan terpulang kepada Ahli Parlimen untuk membuat cadangan undang-undang itu di Parlimen.

“Saya harapkan demikian (cadangan ISA diwujudkan). Jika Parlimen rasa ia sesuai untuk diwujudkan semula, kenapa tidak. Saya menyokong penuh setiap undang-undang yang boleh menjadikan negara lebih selamat,” katanya kepada pemberita dalam wawancara khas di Bukit Aman di sini, semalam.

Ditanya sama ada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang diperuntukkan kepada PDRM tidak memadai, Khalid berkata adalah lebih baik jika ISA diwujudkan kerana fungsi ISA dan SOSMA berbeza dan mengikut keadaan-keadaan tertentu untuk diguna pakai.

Kelmarin Dr Mahathir mencadangkan pelaksanaan semula ISA bagi menangani tindakan puak ekstremis minoriti yang menjejaskan kestabilan negara.

Pada perkembangan lain, Khalid berkata kejayaan Operasi Cantas (Ops Cantas) khas yang dilancar pada 17 Ogos 2013 banyak menyumbang kepada penurunan indeks jenayah sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata pada keseluruhannya indeks jenayah bagi tahun 2013 menurun sebanyak 4.3 peratus iaitu 147,073 kes dilaporkan berbanding 153,669 kes dilaporkan sepanjang 2012.

Beliau berkata sepanjang 137 hari Ops Cantas Khas dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Narkotik, Komersil dan Jabatan Pencegahan dan Pembanterasan Jenayah, seramai 1.3 juta orang dan 807,000 kenderaan diperiksa serta 44,343 orang ditahan.

“Saya amat berpuas hati dengan kejayaan PDRM pada tahun 2013, kami berjaya menurunkan 10.93 peratus jenayah kekerasan dan 6.16 peratus jenayah harta benda sepanjang Ops Cantas Khas dilaksanakan,” katanya.

Khalid berkata pada tahun 2013 juga PDRM turut menggempur dan menahan pesalah-pesalah narkotik termasuk menyita dan merampas harta pengedar dadah yang ditahan.

Beliau berkata bagi tempoh 20 Nov hingga 30 Dis 2013 polis berjaya menahan 14,896 orang membabitkan 14,138 kes berkaitan Akta Dadah Berbahaya dengan jumlah rampasan RM30.82 juta. — Bernama