KUALA LUMPUR: Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan dimasukkan sebagai inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 10, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata langkah itu membolehkan Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) meningkatkan kerjasama dengan semua kementerian yang terbabit dalam inisiatif NBOS 10 iaitu Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Melalui NBOS 10, kerjasama yang dijalin memberi kesan tinggi kepada masyarakat melalui pemerkasaan program sukarelawan, perpaduan dan cintakan negara selain dapat menjimatkan kos kerajaan, katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Beliau memberi contoh kerjasama JLKN dan Jabatan Penjara Malaysia yang membolehkan pelatih PLKN menggunakan perkhidmatan dobi yang diuruskan oleh banduan.

“Perkhidmatan ini menjimatkan 30 peratus (perbelanjaan dobi) berbanding kontrak biasa,” katanya.

Selain itu, beliau berkata modul latihan PLKN turut mendapat kerjasama 38 agensi kerajaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Biro Tatanegara dan KBS.

“Modul itu juga akan melibatkan insiden yang terjadi di Lahad Datu, supaya generasi muda dapat mengetahui serba sedikit apa yang terjadi, apa yang telah PDRM dan ATM lalui ketika itu,” katanya.

Hishammuddin berkata usaha meletakkan PLKN di bawah NBOS 10 juga sebagai langkah transformasi dalam memastikan program itu kekal relevan selain menangani pembaziran yang mungkin wujud.

Terdahulu ketika menghadiri Mesyuarat Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Hishammuddin memperkenalkan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid sebagai pengerusi baharu MLKN menggantikan Datuk Dr Tiki Lafe.

Noor Ehsanuddin, 50, dilantik sebagai pengerusi MLKN pada 30 Ogos lepas setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Noor Ehsanuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, sebelum ini merupakan Pengarah Seranta (FELDA) di Jabatan Perdana Menteri. — Bernama