PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta semua pihak bersabar dan menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung isu penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam Bible versi bahasa Melayu.

“Perkara ini boleh menimbulkan sensitiviti dan perselisihan dalam kalangan penganut agama Islam dan bukan Islam.

“Jadi saya rasa sepatutnya semua pihak perlu mendukung perlembagaan dan undang-undang yang ada di negara ini dan tunggu keputusan mahkamah yang belum bersidang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengarah-Pengarah Korporat ke-6 sempena ulang tahun ke-50 Tabung Haji di Kompleks Tabung Haji, Kelana Jaya, di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta Paderi Katolik Lawrence Andrew yang juga editor majalah Herald supaya menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan majalah mereka.

Dilaporkan Andrew bertegas bahawa gereja di Selangor akan terus menggunakan kalimah ‘Allah’ walaupun Mahkamah Rayuan telah mengeluarkan larangan itu.

Penerbit majalah Herald juga telah membawa perkara ini untuk rayuan di Mahkamah Persekutuan yang dijangka akan bersidang dan membuat keputusan pada 24 Feb ini.

Sementara itu, ditanya mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Persatuan Bible Malaysia, Jamil Khir berkata itu urusan kerajaan negeri dan bukan di bawah kuasa kerajaan persekutuan.

“Di bawah perlembagaan sedia ada, hal ini adalah urusan berkaitan agama dan di bawah kuasa Sultan dan Majlis Agama sejak sebelum dan selepas merdeka lagi.

“Elok kita menghormati perlembagaan yang telah diperuntukkan,” katanya yang enggan mengulas lanjut.

Jamil Khir turut ditanya mengenai saranan Dr Mahathir supaya Tabung Haji menceburi pelaburan dalam industri tekonologi tinggi.

Beliau berkata: “Kita akan ambil perhatian kerana ini penting supaya Tabung Haji terus berkembang pada masa akan datang.

“(Namun) perlu difahami, Tabung Haji dalam suasana terhad penglibatannya, iaitu pematuhan syariah dan kita kena mematuhinya.

“Dalam keadaan begitu sekalipun kita tetap berdaya saing di peringkat tempatan dan antarabangsa seperti pengurusan haji dan menguruskan zakat,” katanya.

Dr Mahathir semalam dilaporkan berkata sekiranya Tabung Haji dan dana lain menceburi industri berteknologi tinggi, negara dapat menggunakan kepakaran saintis dan jurutera tempatan dengan memberikan ganjaran yang lebih tinggi, selaras dengan sasaran kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. — Bernama