KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menukar status 100 kedai runcit di Sabah dan Sarawak kepada COOP Mart atau Kedai COOP 1Malaysia (1M) tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hasan Malek berkata ia bertujuan memastikan produk COOP 1M dapat dikembangkan di Sabah dan Sarawak sebagai usaha kerajaan membantu rakyat menangani kenaikan harga barang harian.

Beliau berkata produk COOP 1M, yang kebanyakannya keluaran koperasi dan usahawan industri kecil dan sederhana, ditetapkan dijual pada harga 20 hingga 30 peratus lebih murah daripada produk berjenama lain tetapi dengan kualiti sepadan.

“Produk COOP 1M adalah produk tanpa jenama seperti produk Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), dan di bawah program 1Malaysia Satu Harga, ia ditetapkan perlu dijual pada harga sama di seluruh negara.

“Kewujudan kedai ini di lokasi tumpuan orang ramai boleh dijadikan antara penyelesaian terbaik kepada kenaikan harga barang kerana harga produk yang dijual adalah tetap setiap masa,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kad Debit-I Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (KOPENAS) di sini semalam.

Hasan berkata ketika ini produk COOP 1M boleh diperoleh di 371 COOP Mart di seluruh negara, 69 daripadanya beroperasi di Sabah dan 45 di Sarawak.

“Dengan berkembangnya penjualan produk COOP 1M di pasaran, ia diharap dapat membantu rakyat memiliki lebih banyak pilihan untuk mendapatkan barang harian yang lebih murah dan mampu dibeli,” katanya.

Mengenai Kad Debit-I Kopenas, Hasan berkata selain berfungsi sebagai kad keanggotaan, kad dwifungsi hasil kerjasama Bank Rakyat itu juga merupakan kad debit sebagai mekanisme pembayaran dividen kepada anggotanya.

Katanya sebagai koperasi pertama yang menggunakan kad debit itu, ia sekali gus membantu mengurangkan penggunaan cek dalam urusan koperasi selain dapat menjimatkan pembayaran dalal yang dikenakan bank.

“Selain itu, kad ini juga berfungsi sebagai kad diskaun apabila perjanjian persefahaman dengan beberapa syarikat pembekal dilaksanakan Kopenas selepas ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara koperasi itu dan Firefly yang bersetuju melantik KOPENAS sebagai pelanggan korporat syarikat penerbangan itu. — Bernama