PETALING JAYA: Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) menggerakkan usaha untuk menyalurkan bantuan berupa peti ais, televisyen, dapur, tilam dan bantal kepada hampir 32,000 keluarga yang terjejas akibat banjir di beberapa negeri baru-baru ini.

Presiden Kelab Putra 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abd Rahim berkata penyaluran sumbangan hasil kerjasama KP1M, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta UMNO adalah bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.

“KP1M kini sedang meneruskan usaha menyalurkan bantuan berkenaan ke Terengganu, Kelantan dan Johor manakala di Melaka sudah selesai dan sebahagian Pahang juga hampir selesai melalui 600 kontena yang telah kita gerakkan,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan 10 lori kontena berisi barang bantuan berkenaan ke Kemaman, Terengganu di Subang di sini semalam.

Abdul Azeez berkata penyaluran bantuan berkenaan dijangka selesai April depan.

Beliau berkata hampir 100 kontena akan digerakkan ke Kemaman secara berperingkat untuk disalurkan kepada 13,470 keluarga. — Bernama