Orang ramai ingkar amaran undang tragedi

MARANG: Tidak peka dengan papan tanda amaran dan gagal mematuhi larangan mandi antara punca berlakunya kes-kes lemas di negeri ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Rozizah Ibni Hajar berkata walaupun pelbagai inisiatif telah dilakukan pihak berkuasa, namun orang ramai masih degil dan tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan.

“Tidak cukup dengan tanda amaran, pihak berkuasa kini menaikkan bendera merah di beberapa pantai sebagai tanda amaran bahaya agar orang ramai tidak melakukan aktiviti di air sepanjang musim tengkujuh ini,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Rozizah berkata kawasan pantai di negeri ini sememangnya bahaya lebih-lebih lagi dengan faktor cuaca dan keadaan ombak besar.

“Sekarang ini musim tengkujuh dan bencana banjir baru sahaja melanda negeri ini, jadi orang ramai perlu waspada sebelum membuat keputusan untuk mandi-manda di kawasan berisiko.

“Justeru itu, kita harap orang ramai lebih peka dan tidak melakukan aktiviti air seperti di pantai dan sungai bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

Sepanjang musim tengkujuh ini, Terenggganu  mencatatkan beberapa kes lemas di pantai dengan terbaharu seorang kontraktor berusia 39 tahun yang masih hilang ketika mencari remis di Pantai Pasir Putih, Marang, petang kelmarin.

Sebelum itu, pada Rabu lepas dua warga China pekerja kilang Eastern Steel Sdn Bhd yang hilang ketika mengambil gambar di Pantai Telok Kalong, di sini ditemui mati lemas pagi Jumaat. — Bernama