Satu terletak di Pahang dan  satu di Terengganu gagal patuhi keperluan ditetapkan

KOTA KINABALU: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menutup sementara dua kem latihan masing-masing di Pahang dan Terengganu kerana gagal mematuhi keperluan yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata kem berkenaan tidak akan dibenarkan menerima pelatih sehingga pemilik dan pengurusannya mematuhi keperluan JLKN dan bersedia menerima pelatih.

“Kem Muazzam Shah telah diarah supaya membuat penambahbaikan dalam semua aspek termasuk infrastruktur dan kesiapsiagaan bagi mengelak kejadian kematian pelatih di kem itu pada sesi pengambilan lalu daripada berulang,  manakala Kem Marang diarah memperbaiki segala kelemahannya.

“Kita tidak mahu ada rungutan daripada pelatih berkaitan keadaan kem yang tidak sempurna dan tidak baik kerana ia boleh menjejaskan imejProgram Latihan Khidmat Negara (PLKN),” katanya kepada pemberita selepasmengucapkan selamat jalan kepada 50 pelatih PLKN dari Sabah yang akan ditempatkan di Kem Semenyeh, Negeri Sembilan.

Yang turut menghantar mereka di  Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ialah Ketua Pengarah JLKN Datuk Abd Hadi Awang Kechil.

Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kudat berkata JLKN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik dan pengurusan kem latihan apabila ia mempunyai hubung kait dengan aspek keselamatan pelatih.

Penilaian terhadap kem akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan segala peraturan yang ditetapkan dipatuhi, katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata penutupan kedua-dua kem berkenaan tidak akan menjejaskan jumlah siling pengambilan pelatih iaitu kira-kira 150,000 orangsetahun kerana ia dapat ditampung oleh kem lain.

Mengenai langkah untuk membendung kejadian pergaduhan di kalangan pelatih, Abdul Rahim berkata JLKN sudah menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) di semua 81 kem latihan.

Beliau berkata selain menempatkan seorang anggota polis di setiap kem, komandan kem juga telah diarah supaya melaksanakan SOP berkenaan dan komandanyang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan.

Kumpulan 1 daripada tiga kumpulan bagi Siri 11 pengambilan pelatih tahun ini melibatkan kira-kira 43,000 orang menerusi peruntukan kerajaan antara RM550 jutahingga RM650 juta setahun.

Sejak 2004, kira-kira 750,000 pelatih telah menamatkan latihan mereka. — Bernama