PUTRAJAYA: Seramai 150,000 pelatih akan menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di 81 buah kem di seluruh negara pada tahun ini, menurut Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN).

Pengerusinya Datuk Ehsanuddin Mohd Harun berkata kumpulan pertama Siri 11/2014 melibatkan 43,000 pelatih akan melaporkan diri di kem PLKN mulai semalam hingga Isnin ini.

Beliau berkata MLKN akan menggunakan sebanyak 1,063 buah bas, 42 penerbangan dan tujuh buah feri untuk membawa pelatih berkenaan ke kem-kem di seluruhnegara.

Beliau juga memberi amaran akan menutup kem PLKN jika pengusaha gagal menyediakan kemudahan yang secukup, menjamin mutu makanan serta mengutamakan aspek keselamatan pelatih di premis masing-masing.

“MLKN tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan pelatih. Ibu bapa tidak perlu bimbang dan saya berharap ini bukan alasan untuk tidak menghantar anak-anak mereka menjalani latihan PLKN,” katanya.

Ehsanuddin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pergerakan Pelatih-Pelatih PLKN Siri 11/2014 di tempat letak kereta(belakang Istana Kehakiman), Jalan Permodenan, Presint 3, di sini semalam.

Beliau berkata sejak program PLKN diperkenalkan pada 2004, lebih 750,000 pelatih telah menamatkan latihan dan sebanyak 18 kes kematian dilaporkan.

Beliau menegaskan 17 kes kematian disebabkan masalah kesihatan manakala satu kes berpunca daripada pergaduhan. — Bernama