SUNGAI PETANI: Sistem pemberian bantuan kepada nelayan akan dimantapkan bagi memastikan segala bantuan kerajaan sampai terus kepadagolongan sasar dan membantu meningkatkan taraf kehidupan mereka.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata pemantapan itu dilakukan kerana terdapat individu yang tidak layak tetapi menerima bantuan.

“Saya semakin memahami permasalahan nelayan. Menjelang 2014 bantuan kepada mereka akan dipastikan tidak ada lagi kesilapan dan mereka yang layak sahaja menerimanya.

“Dalam kes sebelum ini terdapat mereka yang bukan nelayan menerima bantuan enjin…Kejadian ini tidak boleh dibiarkan,” kata Tajul Urus kepada pemberita selepas menyampaikan Elaun Sara Hidup Nelayan kawasan Tanjung Dawai dan Pantai Merdeka di Kelab Cinta Sayang Resort, di sini, kelmarin.

Menurutnya agensi-agensi yang terlibat dalam meluluskan bantuan ini khususnya Persatuan Nelayan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diarahkan membuat bancian dengan telus dan teliti.

Pada majlis itu seramai 840 nelayan dalam kedua-dua kawasan itu menerima elaun sara hidup RM200 seorang.

Pada majlis berasingan di Kem Lapangan Terbang Sungai Petai, Tajul Urus menyampaikan bantuan persekolahan kepada 200 anak-anak anggota tentera kemtersebut sebagai persediaan sesi persekolahan 2014. — Bernama