JOHOR BAHARU: Kementerian Pendidikan bercadang menambah bilangan sekolah seni di negara ini bagi melahirkan lebih ramai tokoh seni ternama dalam bidang berkenaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohammad berkata hasrat itu, bagaimanapun, masih dalam peringkat perbincangan dan bergantung kepada peruntukan serta kewangan negara.
“Sekolah seni pada hari ini dilihat sebagai alternatif kepada pelajar yang kurang cemerlang dalam bidang akademik tetapi sangat berbakat dalam pelbagai seni persembahan.
“Kalau setakat ini kita sudah ada tokoh seni ternama seperti Allahyarham Tan Sri P.Ramlee dan Allahyarham Hamzah Dolmat, maka dengan usaha kerajaan, Malaysia boleh melahirkan tokoh bertaraf global seperti Mozart, Richard Wagner, Kitaro dan sebagainya,” katanya pada majlis penyerahan Sekolah Seni Johor Baharu, diBandar Seri Alam, di sini, kelmarin.
Beliau berkata pembinaan sekolah seni membuktikan komitmen kerajaan dalam membangunkan sistem pendidikan yang menyeluruh untuk generasi akan datang.
Katanya, ia juga satu keperluan sebagai persiapan menuju ke arah negara maju di mana rakyat Malaysia perlu cemerlang dalam semua lapangan termasuk ekonomi, sains, teknologi dan bidang lain seperti kesenian.
Menurut Madinah, selain Sekolah Seni Johor Baharu, terdapat dua lagi sekolah seumpama itu di negara ini ketika ini iaitu Sekolah Seni Kuching di Sarawak dan Sekolah Seni Kuala Lumpur.
Katanya, sudah terdapat permintaan untuk mewujudkan sebuah sekolah seni di Sabah dan ia masih di peringkat perbincangan.
Sementara itu, beliau berkata bangunan tetap Sekolah Seni Johor Baharu di Bandar Seri Alam berkenaan mula dibina pada 30 Disember 2010 dan siap sepenuhnya pada 15 November lepas dengan kos pembinaan RM61 juta.
Sejak tujuh tahun lepas, sekolah itu beroperasi dengan menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan Mohd Khalid, di sini. — Bernama