BUKIT KAYU HITAM: Kedah menyasarkan 5.4 juta pelancong asing mengunjungi negeri itu sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).

Anggota Exconya Aminuddin Omar berkata beliau yakin sasaran itu dapat  dicapai berikutan persiapan dan promosi yang dilakukan pelbagai agensi pelancongan negeri dan persekutuan, khususnya Tourism Malaysia.

Katanya selain pulau peranginan dan bebas cukai terkenal, Langkawi, yang bakal menjadi pilihan utama pelancong, destinasi pelancongan lain di negeri ini juga diramal menjadi tumpuan ramai pelancong berikutan pelbagai program menarik yang disusun untuk menarik kehadiran mereka.

Beliau berkata sebahagian besar ketibaan 2.8 juta pelancong asing ke negeri ini pada tahun lepas direkodkan di pintu masuk utamanya iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Terminal Feri Kuah dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam.

“Sasaran 5.4 juta itu juga berdasarkan perkembangan semasa serta faktor keselamatan dan keamanan dalam negara,” katanya kepada pemberita selepas menyambut kedatangan pelancong sempena pelancaran TMM 2014 di ICQ Bukit Kayu Hitam, semalam.

Menurut Aminuddin, insiden pengeboman di Danok, Sadao dan Padang Besar, Thailand yang bersempadan dengan Malaysia baru-baru ini juga akan mendorong pelancong asing memilih negara ini sebagai destinasi pelancongan.

Katanya kalendar TMM 2014 Kedah bermula dengan Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah pada 19 Januari manakala satu daripada tiga Muzium Padi di dunia yang terletak di Alor Setar dan Lembah Bujang, yang merupakan antara tapak tamadun tertua di dunia, akan dieksploitasi sepenuhnya untuk menarik pelancong.

“Saya, bagi pihak kerajaan negeri, mengucapkan tahniah dan syabas kepada Tourism Malaysia, Jabatan Imigresen, Kastam dan agensi-agensi yang selama ini bekerjasama erat dan bekerja kuat meneruskan komitmen bersepadu bagi menjayakan TMM 2014,” katanya.

Sementara itu, seorang guru dari Taiwan, Elise Wang, 32, yang ditemui di sini berkata beliau sangat teruja sejak pertama kali menjejakkan kaki di Kuala Lumpur pada 27 Disember lepas. — Bernama

Katanya selepas dua hari berada di Kuala Lumpur, rombongan 36 pelancong Taiwan yang disertainya berlepas ke Hatyai dan semalam mereka kembali ke Malaysia untuk melawat beberapa tempat menarik di Kuala Lumpur selama dua hari lagi.

Rakan senegaranya, Chen Yi Chien, 55, pula berkata ini kali ketiga beliau berkunjung ke Malaysia.

“Saya sangat sukakan keadaan di sini kerana rakyat dan budaya masyarakatnya yang pelbagai. Makanan pula sedap-sedap belaka,” katanya sambil menyuarakan hasrat untuk berkunjung ke Langkawi. — Bernama