BAYI TAHUN BARU 2014: Hospital Kuala Lumpur (HKL) setakat 4 petang semalam menyambut 15 bayi, terdiri daripada lapan lelaki dan tujuh perempuan yang dilahirkan pada 1 Januari 2014 di hospital tersebut di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Hospital Kuala Lumpur (HKL) menyambut kelahiran 15 bayi tahun baharu setakat jam 4 petang semalam dengan lapan bayi lelaki dan tujuh perempuan.

Bayi pertamanya lahir pada jam 1.22 pagi.

Bayi perempuan seberat 3.14 kilogram itu merupakan anak sulung kepada Azleeza Zulkifli, 24, dan suami Darussalam Irma, 26.

“Kelahiran Damia Afiza ini adalah hadiah paling berharga bagi saya kerana semalam (kelmarin) merupakan hari jadi saya,” kata Azleeza kepada Bernama.

Bagi pasangan Noor Akma Syakila Mohd Jamil, 23, dan suami Muhd Azlee Ismail, 24, ini kali kedua mereka menyambut bayi tahun baharu.

Anak ketiga mereka Muhd Ammar Darwisy lahir pada jam 9.55 pagi semalam.

“Pada 1 Jan dua tahun lepas kami menyambut anak kedua. Kami tidak merancang kelahiran anak-anak dan kami menyambut kedatangan anak ketiga ini dengan penuh kesyukuran,” kata Noor Akma.

Sementara itu tinjauan Bernama menunjukkan setakat jam 4 petang semalam 12 bayi lahir di Hospital Sungai Buloh (HSB), 16 di Hospital Ampang, tujuh di Hospital Putrajaya dan dua masing-masing di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dan  Hospital Ampang Puteri.

HSB menyambut bayi pertamanya pada jam 12.08 pagi, iaitu bayi lelaki kepada pasangan warga Brunei. — Bernama