DUNGUN: Keresahan seorang ibu, Razita Redzuan, 37, mengenai nasib tiga anaknya yang belum membuat persiapan persekolahan akibat kemiskinan semalam terubat apabila menerima tajaan peribadi daripada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Dungun Mohd Asri Mohamad.

Tiga anaknya, Fatin Farhamin, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah (SM) Tengku Intan Zaharah, Firdaus Farahim, pelajar tingkatan satu SMK Seri Dungun dan Firman Farahan, yang akan memasuki tahun dua di SK Batu 48, semalam membeli pelbagai barangan keperluan di sebuah pasar raya di sini.

Akibat desakan kemiskinan Razita pernah mengalami masalah mental dan dimasukkan ke hospital sakit jiwa sebelum ini.

Wanita itu kini menjaja jeruk buah-buahan di sekitar bandar Dungun untuk menampung perbelanjaan seharian memandangkan suaminya, Mohd Fairuz Ramli, 41, masih mencari kerja setelah kontraknya sebagai buruh tamat.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

“Terima kasih banyak-banyak atas sumbangan Mohd Asri dan saya harap anak saya akan belajar rajin-rajin supaya mendapat keputusan cemerlang dan pekerjaan yang baik apabila dewasa agar dapat mengubah hidup kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Mohd Asri berkata Pemuda UMNO Bahagian Dungun akan menyalurkan bantuan mengikut keperluan semasa keluarga terbabit.

“Dari segi keperluan peralatan sekolah juga, kami akan beri komputer riba kepada anak yang sulung untuk memudahkannya menyiapkan tugasan akademik minggu depan.

“Kami sentiasa berusaha memastikan golongan miskin mendapat pembelaan sewajarnya terutama daripada aspek kebajikan dan pendidikan,” katanya yang turut menemani tiga beradik itu membeli barangan sekolah. — Bernama